Waspada Dengan Skim Iklan

Apakah Skim Cepat Kaya yang begitu banyak itu benar-benar akan menjadikan anda seorang yang kaya raya sepertimana yang dijanjikan?

Ikuti laporannya.
Terdapat skim-skim yang semakin popular di kalangan pengguna Internet Malaysia hari ini yang menawarkan wang mudah dengan cara;
baca emel dapat duit

Klik Iklan Dapat duit
surf dapat duit
pelaburan berpulangan tinggi
Dan variasi-variasinya.
Dalam laporan ringkas ini, kita akan mengikuti dan memahami modus operandi skim-skim ini secara sepintas lalu.

Diharapkan kita dapat mengambil iktibar dan menjauhi apa juga skim yang salah di sisi undang-undang.

Paid to Read
Secara asasnya skim ini mengatakan mereka menerima bayaran dari pengiklan yang berminat untuk beriklan dengan mereka. Dan anda akan dibayar apabila anda melihat iklan-iklan ini. 


Kita boleh terima model ini. Kerana memang wujud pengiklan yang mahu membeli iklan semata-mata untuk membanyakkan bilangan pelawat sekaligus “page impression” (bilangan kali page mereka dilihat). Sekadar untuk berkongsi pengetahuan, pembeli iklan-iklan ini selalunya bukanlah berniat untuk menjual produk ataupun mempromosi apa-apa, sebaliknya niat utama mereka adalah untuk menarik lebih ramai pelawat ke laman web mereka. (untuk tujuan yang hanya diketahui mereka)

Bagi program baca emel untuk dapat duit pula, anda akan dibayar untuk bilangan emel yang anda terima dan baca. Selalunya akan ada had mengenai jumlah emel yang anda baca, misalnya anda hanya dibenarkan membaca 10 emel setiap hari. Dan anda akan dibayar beberapa sen untuk setiap emel yang anda baca.

Selain daripada keuntungan yang diterima daripada yuran yang dikenakan kepada pengiklan, penganjur program "paid to read" ini boleh juga mendapatkan dana tambahan daripada pakej upgrade yang ditawarkan kepada ahlinya. Misalnya anda membayar USD 10 untuk upgrade keahlian. Daripada had 10 emel sehari yang dikenakan kepada, anda kini boleh membaca 20 emel misalnya. Lebih cepat anda mengumpul bayaran, lebih cepat anda boleh ditukar kepada wang tunai setelah melepasi had-had tertentu.

Model perniagaan seperti ini walaupun kurang solid, tetapi masih boleh diterima akal (walau apa pun lebih baik dijauhi). bahay a risikonya, skim-skim ini biasanya dijalankan oleh mereka yang yang tidak kredibel (orang yang cemerlang akan menjauhi skim-skim cepat kaya yang tidak mempunyai masa depan seperti ini) dan tiada jaminan anda akan dibayar setelah tiba masanya nanti. Hasilnya, penat lelah anda membaca emel-emel sebelum ini, lesap begitu sahaja.

Autosurf

Program ini juga berasaskan konsep yang sama. mereka menerima bayaran dari pengiklan yang berminat untuk beriklan dengan mereka. Dan anda akan dibayar apabila anda melihat iklan-iklan ini. Selain daripada keuntungan yang diterima daripada yuran yang dikenakan kepada pengiklan, penganjur program “autosurf” ini boleh juga mendapatkan dana tambahan daripada pakej upgrade yang ditawarkan kepada ahlinya. Misalnya anda membayar USD 10 untuk upgrade keahlian. Daripada hanya 10 laman web sehari yang boleh dilayari untuk mendapatkan bayaran, anda kini boleh melayari 20 laman web misalnya.

Model perniagaan seperti ini walaupun kurang solid, tetapi masih boleh diterima akal (walau apa pun lebih baik dijauhi).

Randomizer/Piramid

Anda membayar sejumlah wang, dan emel anda akan diletakkan didalam satu senarai. Setiapkali ahli baru menyertai skim ini, ahli lama akan dibayar secara rawak (random) dari senarai tadi. Lebih banyak anda bayar, lebih cerah peluang anda untuk dibayar ketika ahli baru masuk.

Sistem Piramid yang sangat jelas. Katakan 7 billion penduduk dunia menyertai program ini, apa akan jadi kepada peserta yang ketujuh billion tersebut?

Dan di Malaysia, terdapat rakyatnya yang lebih kreatif. Mereka menggunakan taktik baru, iaitu system piramid mengunakan Kad ATM (bankcard). Ada ynag meminta deposit RM 10, 20 dan juga RM30. Namun konsepnya tetap sama. Ahli baru akan membayar ahli lama.

Sistem Affiliate Palsu

Kami cukup benci dengan mereka yang menyalahgunakan terma ini. Sebenarnya system affiliate adalah satu program pemasaran yang sah dan sangat berkesan di Internet. Namun disebabkan terdapat beberapa orang yang mencari keuntungan segera dengan memburukkan nama sistem affiliate.

Biarlah kami ceritakan secara ringkas. Affiliate adalah ejen jualan untuk sesuatu produk. Mereka akan dibayar apabila mereka menjual sesuatu produk, biasanya dalam bentuk komisen. Labih banyak yang mereka jual, lebih banyak yang mereka perolehi.

Kerana dikaburi untung segera, affiliate-affiliate ini akan menarik orang membeli produk mereka dengan menggunakan komisen yang bakal dikutip oleh ahli tersebut sebagai umpan. Dari tujuan asal untuk menjual produk, affiliate tadi menjual keahlian sebagai affiliate dengan janji kosong!

Di Malaysia, skim ini dapat anda kenali kerana mereka menawarkan pakej ratusan (malahan ribuan) ebook-ebook berbahasa Inggeris lapuk yang penulisnya sendiri pun tidak menggunakannya lagi pada harga tertentu di samping menjanjikan pendapatan tambahan jika anda berjaya menarik pembeli membeli pakej tersebut.

Jika anda tidak mahu membaca ebook tersebut, jangan beli. Jika anda tidak mahu menggunakan produk tersebut, jangan beli. Jangan beli semata-mata untuk menjualnya kembali, ia bukan satu tindakan yang pintar.

Variasi Skim-Skim Tersebut

Namun trend terkini, terdapat juga variasi daripada skim-skim ini yang menawarkan imbuhan dalam bentuk peratus daripada yuran yang dibayar ahli. Misalnya 1% sehari, 2% sehari, 12%sehari, dan ada juga yang berani meletakkan 130% peratus sehari!

Untuk medapatkan ganjaran ahli mungkin akan diminta melayari sejumlah laman web, membaca sejumlah emel, mencari sejumlah downline ataupun menyimpan wang di dalam dana tersebut untuk sejumlah hari.

Model perniagaan inilah yang sangat tidak solid dan seharusnya tidak ada kompromi untuk menegakkan program-program seperti ini!

1)Bayangkan jika kami dibayar 12% sehari. Setiap minggu, pelaburan kami akan bertambah 144% Setahun? Tunjukkan kami mana-mana syarikat di dunia ini yang mencatat keuntungan sebegitu besar? Syarikat minyak pun boleh bankrap tuan puan kalau bayar dividen sedemikian banyak kepada pelabur.

Jadi jelas, skim-skim ini tidak logik dan tidak mempunyai asas dan model perniagaan yang mantap. Ia tidak wajar diceburi.

Falasi

Jangan tertipu dengan kenyataan sesetengah ahli yang menyatakan mereka telah dibayar. Ya, mereka memang dibayar! Jika mereka tidak dibayar, bagaimana penganjur skim-skim ini hendak menarik (dan menjerat) lebih ramai orang. Dengan membayar ahli-ahli awal, ini akan membina kredibiliti mereka dan lebih ramai orang akan percaya mengenai “sustainability” skim tersebut. Lagipun, bukankah skim ini mengamalkan prinsip Ponzi?

Ponzi

Skim pelaburan yang melibatkan pulangan dividen yang dikaut dari wang yang dilaburkan pelabur baru dan bukan dari keuntungan perniagaan. Skim Ponzi menawarkan keuntungan jangka pendek yang tinggi untuk menarik pelabur baru, di mana wang mereka diperlukan untuk membayar dividen kepada pelabur lama. Yang seterusnya akan berterusan sehingga tindakan mereka terbongkar ataupun penganjurnya lesap.

Mudah sahaja, bayangkan anda berfikir seperti penganjur skim cepat kaya tersebut, anda mahu RM 100 dari seorang ahli yang bernasib malang, ataupun RM 100000 dari 1000 ahli yang malang?

Perkembangan Terbaru

Sebuah variasi dari skim-skim ini (agak popular di Malaysia) sedang bergelut dengan sebuah syarikat pemproses bayaran yang sedang meningkat naik. Masing-masing saling tuduh menuduh.

Yang menjadi mangsa? PENGGUNA!

Jadi, jauhilah skim-skim seperti ini walaupun ia menjanjikan bayaran lumayan dan walau sesiapun yang mencadangkannya kepada anda. Orang yang cemerlang dan usahawan internet yang sebenar akan menjauhi skim-skim seperti ini. Ia terletak dalam dua kategori sahaja, perjudian ataupun tindakan kurang bijak. Mudah."

No comments:

Post a Comment